Tajuk diatas mengalihkan perhatian saya dari apa yang saya fikirkan sebelum ini. Mengambil perkataan utama untuk membawa erti "common" menjadikan tajuk berkenaan seakan membawa erti yang berbeza. Maafkan saya kerana kurang mahir pula dalam bahasa ibunda tercinta. Kebiasaan sejak hampir 10 tahun menulis hanya dalam bahasa inggeris itu menjadi sesuatu yang melekat pula. Mudah-mudahan mulai sekarang saya akan lebih mahir menulis dalam bahasa ibunda kita ini. (Ini membuatkan saya teringat betapa sukarnya menjadi wakil dalam majlis peminangan anak buah saya yang lalu... tetapi syukur, dua orang dah berjaya diselesaikan). Sekali lagi maaf, lari tajuk pula.
Bila saya kata ikan-ikan kerapu utama di Malaysia, sebenarnya saya maksudkan ikan-ikan kerapu yang biasanya senang dijumpai di Malaysia. Senang dijumpai tu pula, bukanlah senang sangat dijumpai, tetapi diketahui ujud dan biasa ditangkap diperiaran negara. Jadi sebahagian dari ikan kerapu yang saya nak cerita kat sini ni, mungkin kita tak pernah tengok pun, mungkin kita hanya pernah dengar aja namanya, tapi tak pernah merasa keenakan rasanya. Kalau anda serius nak tahu jenis-jenis ikan kerapu yang terdapat didunia ini pula, bolehlah merujuk kepada buku khas yang dikeluarkan oleh FAO iaitu FAO Species Catalogue (Vol 16 - Groupers of the World). Satu lagi buku yang baik bagi mengetahui jenis-jenis kerapu yang terdapat di Laut Andaman, rujuklah kepada buku A field guide to grouper and snapper fishes of Andaman and Nicobar Islands: Family Serranidae, subfamily Epinephelinae, and family Lutjanidae.
Bila saya kata ikan-ikan kerapu utama di Malaysia, sebenarnya saya maksudkan ikan-ikan kerapu yang biasanya senang dijumpai di Malaysia. Senang dijumpai tu pula, bukanlah senang sangat dijumpai, tetapi diketahui ujud dan biasa ditangkap diperiaran negara. Jadi sebahagian dari ikan kerapu yang saya nak cerita kat sini ni, mungkin kita tak pernah tengok pun, mungkin kita hanya pernah dengar aja namanya, tapi tak pernah merasa keenakan rasanya. Kalau anda serius nak tahu jenis-jenis ikan kerapu yang terdapat didunia ini pula, bolehlah merujuk kepada buku khas yang dikeluarkan oleh FAO iaitu FAO Species Catalogue (Vol 16 - Groupers of the World). Satu lagi buku yang baik bagi mengetahui jenis-jenis kerapu yang terdapat di Laut Andaman, rujuklah kepada buku A field guide to grouper and snapper fishes of Andaman and Nicobar Islands: Family Serranidae, subfamily Epinephelinae, and family Lutjanidae.
Malaysia: Production of Grouper Fishes (MT) |
Kerapu Belang, E. sexfasciatus. Photo Credit: Randall, J.E. |
Kerapu Botol, E. tauvina. Photo Credit: Randall, J.E. |
Kerapu Pinang atau OrangeSpotted Grouper Epinephelus coioides, adalah satu lagi spesis ikan kerapu yang biasa ditemui diperairan kita. Ianya juga pernah menjadi salah satu spesis popular untuk ternakan pada awal tahun 1990an yang lalu sebelum spesis-spesis baharu dan lebih tinggi nilai pasarannya mengambil alih tempat ikan kerapu pinang ini dalam industri ternakan marin kita. Pada masa yang lalu, ianya dianggap satu spesis pilihan yang lebih baik berbanding kerapu botol. Walau pun ikan ini banyak ditemui diperairan kita, tetapi untuk suatu tempoh yang lama juga kebanyakan benih ikan kerapu pinang ini diimport dari negara-negara jiran. Mungkin pada masa itu teknologi pembenihan untuk spesis ini belum diketahui oleh para pengusaha pusat penetasan ikan kita. Sekarang zaman dah berubah, dunia dah semakin maju, demikian juga industri penetasan ikan kita. Pembenihan ikan ini bolehlah dianggap kacang putih saja oleh para pengeluar benih ikan tempatan kita.
Top:Coral Trout (Kerapu Bara). Below: Spotted Grouper (Kerapu Pinang)
Photo: Mahmud Ismail
Photo: Mahmud Ismail
Kerapu Bara atau Coral Trout, atau nama saintifiknya Plectropomus leopardus biasanya agak jarang kita lihat dipasar-pasar kita terutama yang bersaiz hidangan (plate size). Keadaan ini mungkin disebabkan permintaan yang tinggi terhadap ikan jenis ini direstoran-restoran makanan laut yang telah telah membeli terus dari peraih-peraih ikan dijeti-jeti pendaratan. Ikan ini juga tidaklah terlalu biasa diternak oleh para penternak ikan kita kerana tiada benih ikan jenis ini dilaporkan dikeluarkan dinegara kita. Penternak yang menternak ikan ini di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor dan Sabah kebanyakannya menggunakan benih yang diimport dari luar.
Kerapu Bara Coral Trout Yang Ditangkap Oleh Nelayan Di Sandakan, Sabah.
Photo: Mahmud Ismail
Tidaklah lengkap rasanya kita berbincang tentang ikan kerapu di Malaysia tanpa menyebut tentang ikan Kerapu Kertang (Giant Grouper, dimana nama glamour ikan ini iaitu GG berasal). Nama saitifiknya adalah Epinephelus lanceolatus). Ikan ini adalah spesis yang sangat istimewa, ia boleh membesar hingga kesaiz yang cukup besar, dilaporkan sehingga 600 kilogram seekor dan mampu mencapai usia sehingga 60 tahun. Setiap kali nelayan kita berjaya menangkap ikan Kerapu Kertang ini, ianya menjadi berita hangat pula didada akhbar-akhbar tempatan kita. Ramai saintis membuat andaian bahawa Kerapu Kertang adalah spesis ikan terbesar yang mendiami sesuatu kawasan terumbu karang. Ikan yang ditunjukkan dalam gambar dibawah ini ditangkap didaratkan oleh nelayan di Pantai Remis, Perak dan telah mencapai berat 148 kilogram dan dijual pada harga RM8,000.00 seekor kepada sebuah restoran di Ipoh. Khabarnya seekor ikan itu boleh dihidangkan untuk 400 pelanggan direstoran itu. Bagi mereka yang mampu saya ingin mencadangkan mungkin kita boleh menghidangkan ikan Kerapu Kertang untuk majlis perkahwinan anak-anak kita. Ianya tentu sesuatu yang istimewa dan bakal dingati sehingga keakhir hayat kedua mempelai tersebut.
Kerapu Kertang (Giant Grouper) Yang Ditangkap Di Perairan Pantai Remis, Perak. Sumber: Utusan Malaysia |
Saya terbaca disebuah laman web yang menyebutkan dinegara jiran terdapat restoran yang hidangan istimewanya adalah Kerapu Kertang. Segala bahagian ikan ini dimasak secara istimewa. Sisik, kulit, mata, lidah, hati, sirip, ridip, tali perut, kelempong angin, hempedu, bibir dan lagi, dan lagi...semuanya dimasak secara berasingan. Saya menyebutkan dalam posting saya terdahulu, Ikan Kerapu Suatu Lambang Kemakmuran tentang sesudu sup sperm duct ikan Kerapu Kertang ini bernilai S$50 disebuah restoran di Singapura. Walau bagaimana pun, tuan punya restoran tersebut telah bermurah hari menghidangkannya kepada setiap pelanggan lelakinya satu susu seorang secara percuma dari ikan Kerapu Kertang bersaiz 125 kilogram yang berjaya dibelinya itu. Sperm duct ikan Kerapu Kertang dikatakan sangat baik untuk meningkatkan keupayaan seksual lelaki dan boleh meningkatkan sperm count! Saya berharap, pada malam tersebut ramailah para wanita di Singapura yang tersenyum kepuasan, ramai pula lelaki yang kelihatan keletihan tak cukup tidur keesokan harinya dan ramai pula kelahiran bayi-bayi yang sihat comel 9 bulan kemudiannya. Saya ingin bercerita lagi tentang khasiat ikan Kerapu Kertang ini dimasa depan.
Kerapu Harimau! Namanya pun sudah gah. Ianya adalah nama yang sangat glamour kepada ramai peminat ternakair. Sebut sahaja nak ternak ikan laut, orang akan tanya "nak ternak ikan kerapu rimau ke?" Mungkin kemasyhorannya kerana ianya dikaitkan dengan suatu lagi ikon dunia kejantanan, iaitu harimau. Atau mungkin juga kerana banyaknya siaran akhbar oleh jabatan berkenaan yang mempromosikan ikan ini, sehingga semua orang berminat nak ternak ikan Kerapu Harimau kerana tertarik dengan harganya yang dikatakan mahal. Kejayaan mengeluarkan benih Kerapu Harimau oleh pusat pembenihan dalam negara membolehkan kita mengusahakan ternakan ikan ini secara meluas diseluruh negara. Dulunya inilah ikan yang dianggap paling top dalam bidang penternakan di Malaysia, tetapi tempatnya kini mula diambil alih oleh ikan kacukan diantara Kerapu Kertang dan Kerapu Harimau. Ikan kacukan ini sekarang menjadi kegilaan penternak dan mempunyai harga yang lebih baik dari Kerapu Harimau sendiri. Walau bagaimana pun, saya menjangka ikan Kerapu Harimau akan terus popular dalam industri ternakair Malaysia untuk tempoh yang lama kerana ianya mudahnya pengeluaran benihnya. Ikan Kerapu Harimau bersifat agak agresif terutama semasa kecil, tetapi pengetahuan bagaimana mengurangkan keganasan "anak-anak muda" benih Kerapu Harimau ini telah diperolehi dan sekarang ianya boleh diternak dengan mudah oleh para penternak kita.
Mengangkut Ikan Kerapu Bara Hidup Untuk Pasaran Eksport Di Semporna Sabah. Photo: Mahmud Ismail
Tentunya ramai daiantara kita pernah mendengar tentang ikan Kerapu Tikus (Mouse Grouper), yang nama saintifiknya ialah Cromiloptes altivelis . Ikan ini adalah diva dalam spesis-spesis ikan kerapu kita. Mereka yang tinggal di daerah-daerah di Pantai Timur Negeri Sabah mungkinlah pernah melihat ikan ini, tetapi belum tentu lagi pernah merasa akan keenakan rasa isinya. Ikan ini selalunya berakhir di restoran-restoran makanan laut yang terletak amat jauh dari Negeri Sabah. Kenapa pula ikan yang sangat cantik ini dipanggil Kerapu Tikus? Tiada rekod khas siapa yang menggelarkannya sedemikian, jadi kita buat andaian sahajalah bahawa kerapa muncung ikan ini yang agak tajam itu mengingatkan sipemberi nama tersebut kepada haiwan yang agak biasa dilihatnya didarat iaitu sang tikus. Di Sabah, ikan ini dipanggil Mameng. Mungkin nama Kerapu Mameng lebih glamour lagi untuk kita gunakan.
Kerapu Tikus / Mameng (Mouse Grouper / Cromiloptes altiveli)
Benih bukan lagi suatu masalah kepada penternak kita untuk memelihara ikan Kerapu Tikus ini. Teknologi pembenihan Kerapu Tikus ini telah pun ada dikalangan pengusaha pembenihan ikan dinegara kita. Isu yang masih berlegar adalah kadar tumbesarannya yang perlahan menjadikannya bukanlah pilihan utama kepada para penternak kita. Tabiat makannya mungkin menjadi faktor yang memperlahankan tumbesarannya. Ikan ini tidak akan berusaha untuk mengambil makanan yang telah jatuh dibawah paras mulutnya. Ianya memang sejenis ikan bertaraf bangsawan! Jadi, bagi para penternak, kita perlulah menggunakan makanan jenis jatuh secara perlahan (slow sinking feed) untuk memberi makan ikan Kerapu Tikus ini, jika tidak kita akan mengalami kerugian dari segi jumlah makanan yang digunakan berbanding hasil yang dikeluarkan (Food Conversion Ratio, FCR). Oleh kerana permintaannya yang tinggi serta harganya yang amat baik, maka banyak tumpuan penyelidikan sedang diarahkan kepada ikan Kerapu Tikus ini didalam negara dan dinegara-negara jiran. Setakat ini, hasil kajian-kajian tersebut adalah amat menggalakkan. Kita berharap kejayaan-kejayaan dalam penyelidikan tersebut akan mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh spesis ini akibat aktiviti penangkapan yang berlebihan.
Ada banyak lagi spesis kerapu (dan spesis yang seakan kerapu) yang terdapat diperairan kita. Saya sangat ingin untuk membincangkan spesis-spesis tersebut terutama yang mempunyai peluang untuk dijadikan ikan ternakan dan mempunyai nilai yang tinggi dipasaran tertentu dalam posting-posting dimasa hadapan.
Ada banyak lagi spesis kerapu (dan spesis yang seakan kerapu) yang terdapat diperairan kita. Saya sangat ingin untuk membincangkan spesis-spesis tersebut terutama yang mempunyai peluang untuk dijadikan ikan ternakan dan mempunyai nilai yang tinggi dipasaran tertentu dalam posting-posting dimasa hadapan.