j

Monday, January 17, 2011

Ikan Kerapu, Suatu Lambang Kemakmuran.

Semasa saya berkesempatan menjelajah Negara China, Hong Kong, Taiwan, Thailand, Singapura dan Filipina, saya mendapati ikan jenis kerapu ini sangat biasa dihidangkan dipelbagai tempat makan terutama yang khusus untuk makanan laut. Bagaimana keadaan ikan itu semasa tiba di tempat makan tersebut (dan kepada pelanggan) yang akan membezakan statusnya. Jika ia tiba dalam keadaan hidup, tentulah ianya akan berharga lebih mahal berbanding dengan jika ia tiba dalam keadaan disejukkan (chilled) apatah lagi jika ianya tiba dalam keadaan sejuk beku.

Dibeberapa bandaraya dinegara-negara berkenaan, restaurant makanan lautnya yang eksklusif akan mempunyai deretan-deretan panjang akuarium yang penuh dengan makanan laut hidup dan pelanggan boleh memilih sendiri makanan laut yang diinginkan. Sebahagian restoran berkenaan menyediakan kereta sorong ala supermarket untuk kita tempatkan pilihan kita yang telah diambil dan kemudian ditimbang dan diambil order kaedah masakan yang anda ingini. Setelah itu, ianya akan dihidangkan dimeja anda dengan cara yang sangat menyelerakan.


Kerapu Masak Stim: Photo Kedit: NORIZAN @ http://sweetomoide.blogspot.com/
Terdapat juga restoran yang lebih ekslusif akan menyediakan pelayan khusus yang akan mengikuti kita dalam membuat pilihan sambil mempromosikan produk mereka, mengambil produk pilihan kita, mengambil order bagaimana anda hendak ia dimasak serta tidak lupa juga mencadangkan kepada anda apa masakan yang terbaik untuk produk pilihan anda itu direstoran tersebut. Dibeberapa restoran kelas atasan, ketibaan hidangan ikan kerapu tertentu akan diumumkan ala-ala ketibaan maharaja China dimasa lalu, siap dengan pukulan canang (symbal). Jika kita pernah menonton filem China tentang kisah-kisah maharaja mereka, kita dengar pengumuman "ketibaan Maharaja!". Begitulah jika kita telah memilih ikan kerapu yang berharga tinggi, pekerja restoran yang berpakaian tradisional China lengkap dengan canang akan membuat pengumuman, ...ping! ping! ping! " Loa Si Pan!!!!!" (begitulah agaknya sebutan yang saya dengar itu), memberitahu semua bahawa kita akan dihidangkan dengan hidangan ikan Kerapu Tikus. Bayangkanlah bagaimana perasaan tetamu yang anda raikan, bahawa mereka mendapat keraian ala-ala maharaja! Walaubagaimana pun, tentulah  kita tidak mendapat layanan seistimewa itu jika hanya makan ditempat biasa sahaja, dengan ikan kerapu yang telah disimpan segar (chilled) atau dibekukan (frozen). Bagi penggemar makanan laut sebenar, rasa masakan ikan kerapu yang dimasak dari ikan yang hidup ketika dipilih itu memang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Harga adalah perkara kedua kepada mereka.


Kerapu Harimau adalah diantara spesis
yang popular untuk ternakan. Photo: Mahmud Ismail

Berikutan permintaan yang tinggi keatas ikan-ikan kerapu ini, ianya sekarang sedang galak dikultur secara intensif dibanyak negara didunia terutamanya di negara-negara Asia Tenggara, Taiwan, Hong Kong dan juga China. Ianya juga ditangkap dari laut dengan pelbagai kaedah dan perlatan. Banyak pihak merasa bimbang dengan nasib beberapa jenis ikan kerapu yang menjadi semakin pupus akibat kegiatan penangkapannya secara yang berterusan atau berlebihan. Walau bagaimana pun, hasil dari penyelidikan yang berterusan, penemuan kaedah induce spawning dengan suntikan hormon telah berjaya membolehkan pengusaha pusat penetasan ikan untuk mengeluarkan benih-benih ikan kerapu ini secara komersial. Selain dari itu, penemuan makanan-makanan hidup untuk anak-anak benih kerapu ini serta makanan-makanan berformulasi dalam penternakannya telah berjaya menjadikan ikan kerapu lebih mudah diternak. Dengan itu, ianya mengurangkan sedikit tekanan kepada sektor tangkapan dan bahaya kepupusan.



Beberapa jenis ikan kerapu
dari tangkapan nelayan di Sabah.
Photo: Mahmud Ismail.
Bagi mereka yang sudah biasa dengan biologi ikan kerapu, tentunya amat maklum bahawa ikan jenis kerapu ini kebanyakannya bersifat protogynous hermaphrodites (semasa dilahirkan betina semuanya tetapi kemudiannya bertukar menjadi jantan apabila telah mencapai saiz-saiz tertentu). Sifat istimewa ini untuk beberapa ketika telah menjadi faktor penghalang dalam membiakkan ikan jenis kerapu didalam pusat penetasan. Tetapi seperti yang disebutkan terdahulu, penggunaan hormon telah  membolehkan ikan kerapu betina yang belum sampai waktu untuk menjadi jantan dipaksa bertukar menjadi jantan samada untuk sementara waktu atau secara berkekalan. Penemuan dan kejayaan kaedah ini telah merubah industri ternakair dunia terutama untuk pengeluaran ikan jenis kerapu.

Beberapa jenis kerapu memang mendapat harga yang tinggi dipasaran. Diantaranya, Kerapu Kertang, Kerapu Tikus dan Kerapu Bara terutama jika ianya dijual hidup untuk pasaran khas seperti di HongKong, China dan Singapura. Harga diperingkat resoran jauh lebih mahal lagi, tetapi kerana rasa dan khasiatnya, ikan-ikan kerapu tersebut tetap digilai oleh penggemarnya, walau berapa pun harganya direstoran-restoran tersebut. Saya terbaca satu article yang ditulis menyebutkan harga sesudu sup sperm duct ikan Kerapu Kertang bernilai S$50. Saya tidak silap, sesudu, bukan semangkuk. Saya ingin bercerita lagi tentang kegilaan kepada ikan kerapu ini dimasa depan.

1 comment:

  1. Selamat Sejahtera,

    Kami dari Arafura pembudidaya Ikan Kerapu ingin menjual Ikan kerapu beku ( Frozen ) dalam jumlah besar. Jika ada bapak / Ibu atau Distributor dan Supplier ingin membeli dan berminat bisa menghubungi saya di 0877-88977731/Wa atau 0812-96346022
    Sdr.calvin ( indonesia )

    Terima kasih, semoga bermanfaat.

    ReplyDelete